Apa Rahsia Di Sebalik 7 Warna Hingus? Kalau Hitam, Kena Jumpa Doktor Cepat!
Rimas hingus meleleh setiap kali mengalami selesema? Pernahkah anda terfikir bagaimana 
hingus terhasil?
Hingus atau mukus nasal terhasil untuk membantu menjaga sistem pernafasan agar kekal 
sihat.
Ia mempunyai beberapa tugas atau fungsi utama iaitu:

	Memerangkap debu atau habuk yang memasuki lubang hidung
	Melembapkan udara agar lebih mudah untuk bernafas
	Memastikan dinding hidung dan sinus kekal lembap
	Melawan jangkitan kuman, virus dan bakteria
Ia akan dihasilkan kira-kira 1 ke 2 quart sehari dan anda mungkin menelannya sepanjang 
hari tanpa sedar.
Ada yang percaya bahawa warna hingus boleh menjadi petunjuk kepada tahap kesihatan 
kita, sama seperti warna tinja atau air kencing.
Adakah ia benar? Jom sama-sama kita ikuti artikel ini untuk tahu dengan lebih mendalam 
lagi!
Bagaimana hingus terhasil?
Sebelum pergi dengan lebih lanjut, wajarlah untuk kita tahu bagaimana hingus terhasil 
terlebih dahulu.
Menurut Pakar Telinga, Hidung dan Tekak dari New York University Langone Medical Center 
iaitu Dr. Richard Lebowitz, hingus terhasil daripada kelenjar mukosa yang terdapat dalam 
saluran pernafasan.
Seperti yang diperkatakan pada awal artikel ini, ia dihasilkan bagi membantu menjaga 
sistem pernafasan agar kekal sihat.
Ramai yang berpendapat bahawa kewujudannya menandakan anda sedang demam atau 
selesema, ia adalah kurang tepat.
Ini kerana ia tetap akan dihasilkan secara berulang kali walaupun kalian sudah menghembus 
dan membuangnya keluar dari lubang hidung.
Dalam erti kata yang lebih mudah, hingus adalah sesuatu yang normal namun sila berjumpa 
doktor jika ia terhasil dengan terlalu sedikit atau terlalu banyak.
Apa rahsia di sebalik warna hingus?
Dalam pada itu, ramai yang percaya bahawa warna mukus nasal ini mungkin boleh 
memberitahu tahap kesihatan tubuh badan kita.
Meskipun doktor tidak akan mengambil kira warna hingus sebagai diagnosis utama, namun 
ia boleh dijadikan petunjuk.
Berikut merupakan 7 warna hingus dan rahsia di sebaliknya:
#1. Hingus jernih
Ini adalah petanda bahawa tubuh badan anda berada dalam kondisi yang sihat.
Mukus yang berwarna jernih menunjukkan ia mengandungi air, protein, antibodi dan 
larutan garam serta dihasilkan secara berkala dengan kerap.
Mungkin kalian tidak akan selalu perasan hingus yang berwarna jernih kerana ia 
kebiasaannya akan mengalir masuk dan larut di dalam perut.
#2. Hingus putih
Ini adalah petanda yang anda mengalami hidung tersumbat.
Mukus yang berwarna putih disebabkan oleh keradangan atau kebengkakan pada tisu 
hidung sekali gus memperlahankan aliran mukus.
Akibatnya, ia akan hilang kelembapan lantas menyebabkan hingus menjadi agak pekat dan 
likat  simptom utama demam atau selesema.
#3. Mukus kuning
Ini adalah petanda anda mungkin mengalami demam selesema.
Mukus yang berwarna kuning disebabkan oleh sel melawan jangkitan seperti sel darah putih 
memasuki kaviti hidung untuk melawan jangkitan mikrobial.
Ia seterusnya akan menyebabkan mukus berubah warna seakan kuning dan mula mengalir 
keluar melalui hidung yang akan hilang selepas 10 ke 14 hari.
#4. Mukus hijau
Ini adalah petanda bahawa anda masih mengalami demam selesema.
Mukus yang berwarna hijau disebabkan oleh sel melawan jangkitan seperti sel darah putih 
yang memasuki kaviti hidung telah tewas kepada jangkitan mikrobial.
Jika anda masih sakit selepas 12 hari, sila berjumpa doktor segera kerana ia mungkin 
petanda jangkitan bakteria sinusitis yang perlu dirawat dengan ubatan.
#5. Mukus merah
Ini adalah petanda bahawa hingus anda telah bercampur dengan darah.
Mukus yang berwarna merah disebabkan oleh kecederaan pada tisu hidung  mungkin 
disebabkan oleh kekeringan, kerengsaan atau apa-apa impak.
Jika ini berlaku, sila periksa sama ada wujud sesuatu yang tersekat di dalam lubang hidung 
atau segera berjumpa doktor untuk konsultasi.
#6. Mukus oren
Ini adalah petanda hingus anda sudah bercampur dengan darah.
Mukus yang berwarna oren disebabkan oleh kecederaan pada tisu hidung  sama seperti 
yang terjadi jika hingus anda berwarna merah.
Apa yang berbeza adalah ia mungkin disebabkan oleh sesuatu yang anda sedut seperti 
kotoran, tembakau, paprika dan sebagainya.

#7. Hingus hitam
Ini adalah petanda bahawa anda mungkin terkena jangkitan yang serius.
Mukus yang berwarna hitam disebabkan jangkitan kuman serius yang biasa berlaku kepada 
individu perokok, penagih dadah atau penderita penyakit sistem imun.
Jika anda termasuk dalam kategori di atas, anda mungkin sudah berjumpa doktor lebih 
awal. Jika tidak, segera dapatkan konsultasi dengan doktor.
Baiklah, sekarang kita sudah tahu bagaimana hingus terhasil dan rahsia di sebalik warna 
hingus.
Namun, ini cumalah sekadar petunjuk dan doktor sendiri tidak akan melakukan diagnosis 
berdasarkan perkara ini.
Akhir kata, sila berjumpa doktor untuk pemeriksaan yang lebih lanjut dan sahih!
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
